Monday, December 31, 2007

Ahad13 Zulhijjah 1428H

bersambung........

- Untuk melahirkan rasa gembira dalam keluarga dan mengembangkan rasa kasih sayang terhadap fakir miskin.

Daging korban yang dimakan dan dinikmati seluruh keluarga dan sebahagian lain disedekahkan kepada fakir miskin. hal ini dapat pula melahirkan rasa rela berkorban untuk kepentingan orang lain yang tidak berkemampuan atau susah di samping untuk memeriahkan kegembiraan anggota keluarga dan jiran tetangga.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s. a. w bersabda, yang bermaksud:

"Aku melarang kamu daripada daging korban di atas tiga hari supaya orang yang mempunyai kelebihan (kaya) dapat menolong orang yang tidak mempunyai kelebihan (miskin). Dengan itu, makanlah sebeberapa yang nyata bagimu dan berilah makan kepada fakir miskin dan simpanlah." - riwayat Ahmad, Muslim dan Tarmizi.

Tuesday, December 25, 2007

Sabtu 12 Zulhijjah 1428H

disambung......

- Untuk melahirkan dan membuktikan kecintaan manusia kepada Allah dengan melebihi kecintaan yang lain. hal ini terbukti ketika Nabi Ibrahim a. s sanggup menyembelih atau mengorbankan anaknya nabi ismail a. s kerana melaksanakan perintah Allah s. w. t.

Firman Allah yang bermaksud :

"Setelah anak itu sanggup berusaha bersamanya, berkata Ibrahim kepadanya: Hai anakku, sesungguhnya aku bermimpi dalam tidur bahawa aku menyembelihmu, maka perhatikanlah bagaimana fikiranmu ? Sahut anaknya: Hai bapaku, lakukanlah apa yang diperintahkan itu, bapa akan mendapatiku berhati sabar insya Allah." - as-Saffat, ayat 102.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s. a. w bersabda yang bermaksud :

"Tidaklah beriman seseorang kamu sehingga ia mencintai Allah dan RasulNya lebih dari mencintai yang lain." - riwayat Bukhari dan Muslim.

- Untuk membuktikan rasa syukur kepada Allah s. w. t.

Orang yang melaksanakan ibadah korban akan dapat melahirkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

"Demikianlah Kami mudahkan binatang ternakan untuk kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur." - al-Hajj, ayat 36.

Menzahirkan rasa syukur kepada Allah dengan penuh ikhlas akan ditambahkan oleh Allah nikmat yang berlipat ganda dalam kehidupan seseorang.

- Sebagai membuktikan ketaqwaan kepada Allah s. w. t.

Konsep mencari keredaan Allah melalui ibadah korban bukanlah didasarkan kepada daging atau darahnya semata-mata tetapi adalah nilai ketakwaan kepada Allah yang merupakan motivasi yang menggerakkan hati nurani seseorang untuk melaksanakan korban.

Firman Allah s. w. t yang bermaksud:

"Daging-daging binatang korban itu serta darahnya tidak akan dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kaum yang dapat mencapainya. demikianlah Allah memudahkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada mu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan." - al-Hajj, ayat 37.

- Untuk membesar dan mengagungkan Allah atas petunjuk yang diberikanNya.

Konsep mengagungkan Allah sempena melaksanakan ibadah korban adalah tercermin di dalam takbir dan tahmid yang dikumandangkan pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyrik dan juga ketika dalam sembahyang hari raya.

Sabda Rasulullah s. a. w:

"Tidak ada satu amalan anak adam di hari Nahar (hari penyembelihan korban) yang lebih disukai Allah selain daripada penyembelihan korban. sesungguhnya haiwan korban akan datang pada hari kiamat lengkap dengan anggota tubuhnya, tanduknya, kukunya dan bulunya. Sebelum darah haiwan jatuh ke tanah, ianya jatuh lebih dahulu ke tempat yang disediakan oleh Allah (tempat pahala). Oleh itu, kerjakanlah ibadah korban dengan baik dan senang hati." -riwayat tarmizi dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a

bersambung......

Jumaat 11 Zulhijjah

HIKMAH KORBAN.

IBADAH korban adalah salah satu syariat Islam yang mulia. Malah ia adalah suatu syiar Islam yang mempunyai erti dan hikmah yang besar dalam kehidupan umat Islam seluruhnya. Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, bahawa ibadah korban bermula sejak zaman Nabi Adam a. s dan sampai ke zaman Nabi Muhammad s. a. w. Bahkan sekarang ini ibadah korban masih diamalkan oleh seluruh umat Islam di dunia.

Secara ringkasnya, korban menurut pengertian hukum syarak ialah menyembelih binatang ternakan tertentu yang bermula selepas solat Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah sampai sebelum terbenam matahari pada 13 Zulhijjah kerana ibadah kepada Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud:

"Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah." -Al-Kauthar, ayat 2

Menurut pendapat sahabat Nabi, tabi'in dan imam-imam mazhab, melaksanakan ibadah korban dalam Islam hukumnya sunat muakkad bagi mereka yang mampu.

Rasulullah s. a. w bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang berkemampuan untuk berkorban, tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia mendekati tempat sembahyang kami," -riwayat Ahmad dan Ibnu Majah.

Ibadah korban menjadi wajib apabila seseorang itu bernazar kerana mendapat sesuatu hajat atau cita-cita. oleh itu, Islam amat menggalakkan umatnya melaksanakan ibadah korban dengan konsep mencari keredaan Allah. Di samping itu, ibadah korban mempunyai beberapa keistimewaan dan hikmah yang teretentu dan ianya menjadi pendorong atau motivasi untuk beramal dengan penuh kesyukuran kepada Allah s. w. t.

Di antara hikmah-hikmah korban, antara lainnya :

- Untuk mendekatkan diri kepada Allah s. w. t. pada prinsipnya, dengan melaksanakan korban, seseorang itu akan dapat mendekatkan diri kepada Allah dalam ertikata sanggup berkorban untuk keredaanNya. justeru itu, orang beriman yang melakukan korban dengan ikhlas akan mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah s. w. t.

Sabda Rasulullah s. a. w yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali amal yang dikerjakan dengan ikhlas dan dimaksudkan untuk mendapat keredhaanNya." - riwayat An Nasai.

bersambung......

Monday, December 24, 2007

Khamis 10 Zulhijjah

HARI RAYA HAJI, AIDIL ADHA

Satu Dalam 600, 000 Orang.

Abdullah b. Mubarak menceritakan sewaktu beliau tertidur di masjidil haram beliau telah nampak dua malaikat turun dari langit. Berkata salah seorang darinya; "Berapa ramai bilangan haji tahun ini ?"
Jawab yang disebelahnya; "600, 000 orang." "Di antara mereka, berapakah yang diterima hajinya ?" tanya malaikat awal. Jawab malaikat yang kedua; "Di antara mereka, hanya seorang sahaja. Namanya Muwaffak, dia tinggal di Damsyik, pekerjaannya sebagai tukang kasut, dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima Allah."

Bila tersedar dari tidurnya, Abdullahpun segera berangkat ke Damsyik untuk mencari lelaki itu. Setelah bertemu Abdullahpun bertanya; "terangkan padaku, apakah amalanmu sehingga mencapai darjat yang tinggi ?" Jawab Muwaffak; "Dengan rahmat Allah aku telah dapat mengumpulkan 300 dirham yang aku simpankan untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Waktu itu isteriku sedang hamil dan ia telah tercium sesuatu masakan dari rumah jiran dan menyuruhku memintanya sedikit kerana ia mengidam. Aku punmendapatkan jiranku itu.

Berkata jiranku kepada ku; " Aku terpaksa memberitahumu satu perkara, anak-anakku telah tiga hari tidak makan. Sewaktu aku keluar mencari makanan aku terjumpa bangkai himar lalu aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masakkan, maka makanan ini halal bagi kami tetapi haram bagimu."

Mendengar kata-kata wanita itu, aku pun segera pulang ke rumah dan mengambil wang 300 dirham itu lalu aku berikan kepadanya. Aku berkata pada diriku; "Hajiku hanya di pintu jiranku." Hanya itulah sahaja amalanku". Demikianlah besarnya rahmat Allah kepada hambanya, sesungguhnya Allah tidak memandang kepada harta yang kita ada tetapi pada niat yang ikhlas lagi suci.

Rabu 9 Zulhijjah

Selasa 8 Zulhijjah


Isnin 7 Zulhijjah

Ahad 6 Zulhijjah

Wednesday, December 19, 2007

Rabu 2 Zulhijjah 1428H

FADHILLAT BULAN ZULHIJJAH.

Salah satu cara yang telah dianjurkan oleh agama kita ialah dengan berpuasa sunat pada tanggal 1 hingga 9 Zulhijjah. Kelebihan berpuasa pada hari itu berbeza-beza pula, menurut sebuah Hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r. a., Rasulullah s. a. w. bersabda maksudnya;

-Tanggal 1 Zulhijjah, kesalahan Nabi Adam diampuni Allah, barang siapa berpuasa pada hari itu, diampuni Allah akan dosanya.

Selasa 1 Zulhijjah 1428H

GANJARAN BAGI MEREKA YANG MEMULIAKAN ZULHIJJAH.

Kata sebahagian Ulama, "Barang sesiapa yang memuliakan hari-hari yang berlalu dalam bulan Zulhijjah, nescaya ia akan dianugerahi oleh Allah dengan 10 macam kemuliaan , iaitu;

-berkat pada umurnya
-bertambah hartanya
-kehidupan rumahtangganya akan terjamin
-membersihkan diri dari dosa dan kesalahan yang telah lalu
-amal ibadah serta kebaikannya akan berganda
-Allah akan memudahkannya pada saat kematiannya
-Allah akan menerangi kuburnya selama berada di alam barzakh
-Allah akan memberatkan timbangan amal baiknya semasa berada di Mahsyar
-selamat dari kejatuhan kedudukannya di dunia
-martabatnya akan digandakan pada sisi Allah

Isnin 30 Zulkaedah

Ahad 29 Zulkaedah

Saturday, December 15, 2007

Sunday, November 18, 2007

Selasa 10 Zulkaedah

Isnin 9 Zulkaedah

Ahad 8 Zulkaedah

Sabtu 7 Zulkaedah 1428H

JENIS-JENIS HAJI

HAJI IFRAD

Haji Ifrad ertinya mengerjakan ibadah haji terpisah dengan ibadah umrah. Pertamanya dikerjakan ibadah haji dahulu sehingga selesai kepada tahallul. Pada masa ini, seorang haji boleh menukar pakaian ihramnya serta bebas melakukan segala perbuatan yang dilarang sewaktu berpakaian ihram. Setelah itu pakailah kembali pakaian ihramnya dengan niat mengerjakan ibadah umrah pula.

Kerjakanlah ibadah umrah itu sehingga selesai kepada tahallul. Haji Ifrad ini biasanya dikerjakan bagi mereka yang tinggal tetap di Tanah haram atau sekitar kawasannya sahaja.

HAJI TAMATTU'

Haji Tamattu' ertinya haji bersenang-senang iaitu dengan mendahulukan ibadah umrah sehingga selesai kepada tahallul. Pada masa ini ia bolehlah tukarkan pakaian ihramnya dan bebas melakukan perkara dilarang ketika berihram.

Bila sudah tiba masa untuk berwukuf iaitu pada 9 Zulhijjah, pakailah semula pakaian ihram dengan niat untuk menunaikan ibadah haji pula. Kerjakanlah ibadah haji sehingga selesai tahallul. bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji secara tamattu', adalah dikehendaki membayar dam.

HAJI QIRAN

Haji Qiran ertinya mengerjakan ibadah haji bersama-sama dengan ibadah umrah. Ketika memakai pakaian ihram, hendaklah diniatkan untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah secara serentak.

Setelah memakai pakaian ihram dan selesai melakukan tawaf serta saie bagi umrah, pakaian ihram tidak perlu dibuka. Ertinya janganlah bertahallul dahulu, sebaliknya menyambung dengan mengerjakan ibadah haji dengan melakukan wukuf di Arafah, melontar serta mengerjakan ibadah yang lainnya. Setelah selesai barulah bertahallul.

Selepas itu barulah dibenarkan membuka pakaian ihram, dan bebas melakukan perkara yang dilarang ketika berihram.

Haji Qiran biasanya dikerjakan oleh mereka yang sampai lewat ke Mekah seperti pada 7 atau 8 Zulhijjah sehingga tidak sempat mengerjakan ibadah haji secara Tamattu'. bagi mereka yang mengerjakan Haji Qiran dibenarkan melakukan tawaf serta saie satu kali, dan mereka dikehendaki membayar dam.

Jumaat 6 Zulkaedah


Khamis 5 Zulkaedah 1428H

PANDUAN RINGKAS UMRAH

UMRAH juga dinamakan sebagai haji kecil kerana di dalam Umrah itu bolehlah dikatakan sama seperti mengerjakan ibadat haji. Rukun umrah ada 5, iaitu:

1. Memakai pakaian ihram sambil berniat mengerjakan umrah

2. Tawaf sebanyak 7 pusingan

3. Saie sebanyak 7 kali

4. Bercukur atau bergunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut

5. Tertib

WAJIB umrah itu 2 perkara :

1. Ihram di miqat umrah

2. menjauhkan diri dari perbuatan terlarang ketika ihram

SUNAT Umrah :

Segala perbuatan yang sunat dilakukan dalam ibadat haji adalah juga sunat dilakukan ketika umrah.

MIQAT Zamani Umrah :

Adalah sepanjang tahun kecuali waktu mengerjakan ibadah haji di Arafah dan hari tasyrik sampai selesai mengerjakan segala rukun dan wajib haji.

MIQAT Makani Umrah :

1. Bagi yang berada di Mekah hendaklah keluar dari Tanah Haram ke Tanah Halal, iaitu:

- Tanna'im - jaraknya kira-kira 3 km dari Mekah, jalan ke Madinah

- Ja'ranah - jaraknya kira-kira 9 km dari Mekah, jalan ke Zat Iraq

- Hudaibiyah - jaraknya kira-kira 15 km dari Mekah, jalan ke Jeddah

2. Bagi yang datang dari luar mekah, kalau hendak terus mengerjakan umrah ketika musim haji, kerjakanlah umrah di Miqat Makani Haji.

Rabu 4 Zulkaedah 1428H

.....disambung

Rukun Haji 6 Perkara.

1. Ihram di Miqat. Niat menunaikan haji umpamanya; "Sahaja aku menunaikan haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta'ala".

2. Wukuf di Arafah. Berada di padang Arafah walaupun hanya sekejap mulai selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hinggalah terbit fajar 10 Zulhijjah.

3. Tawaf. Mengelilingi Kaabah dengan syarat berikut;
- mengelilingi sebanyak 7 kali
- menjadikan Kaabah di sebelah kirinya
- memulakan dan mengakhirkan tawaf pada Hajarul Aswad
- dilakukan di dalam Masjidil Haram
- menutup aurat
- suci dari sebarang hadas dan najis

4. Saie. Berjalan rancak (berlari anak) di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dengan syarat berikut;
- hendaklah dilakukan selepas tawaf rukun atau tawaf qudum
- berulang-alik antara kedua bukit tersebut sebanyak 7 kali
- dimulakan dari Bukit Saie dan disudahi di Bukit Marwah
- saienya hendaklah sampai ke tempat (titik) yang dituntut
- bersaie di Batu Wadi
- tidak berniat lain yang boleh memesongkan tujuan saie
- tidak diselangi dengan wukuf antara tawaf qudum dan saie

5. Bergunting. menggunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut atau bercukur habis.

6. Tertib.

besambung.....

Saturday, November 10, 2007

Selasa 3 Zulkaedah 1428H

disambung......

Wajib Haji

1. Ihram di miqat. Bagi lelaki sehelai kain lepas dan sehelai kain selendang berwarna putih yang tidak berjahit. Bagi wanita, pakaian ihramnya itu hendaklah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Di sini juga bakal-bakal haji dikehendaki berniat mengerjakan haji.

2. Bermalam di Mudzalifah. Dikehendaki bermalam di sini walaupun hanya sekejap selepas separuh malam yang ke 10 Zulhijjah selepas wukuf di Arafah.

3. Melontar Jamratul Aqabah. Dilakukan di Mina selepas separuh malam hari raya haji dan berlanjutan sehingga jatuh matahari pada akhir hari tasyrik.

4. Bermalam di Mina. Bakal haji mestilah bermalam di Mina pada malam-malam tasyrik lebih dari separuh malam tersebut.

5. Melontar ketiga-tiga Jamrah. Jamratul Ulla, Jamratul Wushta, Jamratul Aqabah hendaklah dilakukan lontaran pada hari raya dan pada hari tasyrik selepas gelincir matahari sewaktu berada di Mina dengan 7 biji batu setiap jamrah.

6. Menjauhkan diri daripada perbuatan yang dilarang ketika berihram.

Larangan Semasa Ihram

1. Menutup kepala bagi lelaki

2. Memakai pakaian berjahit bagi lelaki

3. Menutup muka dan dua tapak tangan bagi perempuan

4. Memakai bau-bauan

5. Bercumbu-cumbuan

6. Bersetubuh

7. Akad Nikah

8. Memburu atau membunuh binatang

9. Menggugurkan sebarang bulu atau memotong kuku

10. Tidak boleh berkelahi, bermusuh-musuhan atau memutuskan silaturrahim

11. Mencabut, memotong atau mematahkan tumbuh-tumbuhan

......bersambung

Isnin 2 Zulkaedah 1428H

MUSIM Haji untuk tahun ini akan bermula. Untuk bakal-bakal haji dan hajah, diucapkan selamat menunaikan Ibadah Haji; semuga kembali dari Tanah Suci dengan Haji Yang Mabrur. InsyaAllah.....

SEBAGAI persediaan untuk menunaikan Ibadah Haji, di sini dibekalkan sedikit catatan ringkas mengenai Haji dan Umrah, sekadar sebagai panduan asas.

PANDUAN RINGKAS HAJI

Allah s.w.t berfirman; "Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya". (al Imran : ayat 222)

Haji menurut istilah bahasa ialah; Berziarah atau mengunjungi.
Dari istilah syarak pula ialah ; Menyengajakan sesuatu untuk berziarah atau mengunjungi Kaabah (Baitullah) di Mekah untuk melakukan beberapa amal ibadah dengan rukun dan syarat yang tertentu sebagai pelaksanaan rukun Islam yang kelima.


Syarat Wajib Haji - 5 Perkara.

1. Islam. Tidak sah haji orang yang kafir

2. Baligh. Tidak wajib ke atas kanak-kanak

3. Berakal. Tidak wajib ke atas orang yang gila dan bodoh

4. Merdeka. Tidak wajib ke atas hamba sahaya

5. Kuasa (mampu). Ertinya ialah :

- kuasa mengerjakan haji dengan sendirinya
- kuasa dengan cara mengupah orang lain sebab uzur atau lemah tetapi mempunyai kewangan yang cukup sebagai perbelanjaan

Miqat Haji

Miqat ialah lingkungan atau had sempadan bagi orang-orang yang mengejakan haji. Terdapat 2 miqat iaitu :

1. Miqat Zamani. Ia adalah lingkungan masa tertentu bagi ihram haji dan bermula dari awal bulan Syawal hingga terbit fajar 10 Zulhijjah.

2. Miqat Makani. Iaitu kawasan tertentu untuk berniat ihram. Bagi orang-orang yang datang dari Malaysia melalui perjalanan udara melintasi Abu Dhabi, miqat makaninya adalah Qurnul Manazi iaitu lebih kurang 94 km dari Mekah.

....bersambung


Ahad 1 Zulkaedah 1428H


TIADA amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini kecuali amalan sunat dan fardu yang seperti biasa.

Sabtu 29 Syawal

Friday, October 19, 2007

Khamis 6 Syawal

Rabu 5 Syawal

Selasa 4 Syawal

Isnin 3 Syawal 1428H

AMALAN sunat pada 1 Syawal seperti :

- membayar zakat fitrah sebelum menunaikan solat aidil fitri

- menghiasi diri dan tempat tinggal supaya menjadi kelihatan bersih dan cantik

- mandi sunat aidil fitri pada pagi harinya

- menjamah sedikit makanan sebelum ke masjid

- menuju ke masjid melalui satu jalan dan sekembalinya dari masjid menggunakan jalan yang lain

- lebih afdal berjalan kaki ke masjid jika letaknya berhampiran

- mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula pada malam syawal hinggalah terbenam matahari pada hari raya itu

BERPUASA 6 HARI dalam bulan Syawal (sunat Syawal). Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti pula berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka diumpamakan ia telah berpuasa sepanjang tahun."

Dalam Hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda;

"Puasa sebulan di bulan Ramadan sama seperti ia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya di bulan Syawal menyamai puasa 2 bulan. Maka yang demikian, kamu telah berpuasa selama setahun."

Ahad 2 Syawal

Setelah menyambut hari raya, atau hari lebaran, maka hendaklah kita berpuasa enam di bulan Syawal, disunatkan saja, namun besar pahalanya......

Tuesday, October 9, 2007

Sabtu 1 Syawal 1428H


Aidil Fitri...... jatuhnya pada 1 Syawal, hari nan mulia, hari bahagia, semua umat Islam bersuka ria, bermaafan dan berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai rakan taulan.......

Juga merupakan hari kemenangan bagi yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan al-Mubaraq, dihalalkan berbuka atau makan minum di hari ini......
- Berpakaian baru, juadah beraneka jenis dan rasa, semua bersuka ria menjamu selera.....



Jumaat 30 Ramadan 1428H



Raya di China

Khamis 29 Ramadan

Rabu 28 Ramadan

Selasa 27 Ramadan

Isnin 26 Ramadan

Wednesday, September 26, 2007

Selasa 20 ramadan

Isnin 19 Ramadan 1428H

19 hari berpuasa dalam bulan Ramadan al Mubaraq......

Disambung perbincangan tentang Rahsia Angka 10. Diperturunkan pula 10 Jenis Kecelaan Meminum Arak.

Imam Abu laits telah memperingatkan tentang 10 kecelaan akibat dari meminum arak, iaitu.....

- peminum arak akan menjadi seperti orang gila kerana akalnya tidak berfungsi dengan baik dan tercela pada pandangan orang waras.

- meminum arak adalah perbuatan membazir kerana membeli sesuatu yang tidak membawa manfaat malah mendatangkan mudarat.

- boleh menimbulkan permusuhan dan persengketaan.

- menjadikan peminumnya lalai dari menunaikan solat dan mengingati Allah s.w.t.

- boleh menjerumuskan seseorang itu ke lembah perzinaan serta berlakunya keruntuhan rumah tangga.

- arak adalah anak kunci kepada segala kejahatan, bila akal sudah tidak waras maka peminumnya akan melakukan apa saja seperti merompak, merogol, membunuh dan sebagainya.

- meminum arak menyebabkan malaikat menjauhkan dirinya dari kita maka bagaimanakah nasib kita bila rahmat Allah s.w.t. semakin jauh.

- peminum arak akan dijatuhi hukuman rotan sebanyak 80 sebatan, jika ia terlepas dari dunia maka di akhirat kelak ia akan mendapat balasan yang lebih dasyat lagi.

- selama 40 hari amal kebajikannya tidak akan diangkat oleh malaikat kepada Allah s.w.t.

- dikhuatirkan ia akan mati dalah keadaan kafir sebelum sempat bertaubat.

Ahad 18 Ramadan 1428H

18 hari berpuasa.......

Disambungkan perbincangan tentang Rahsia Angka 10......

10 Jenis Golongan Termasuk Kafir.

Sabda rasulullah s.a.w.; "Ada 10 jenis golongan manusia dari umatku ini yang mana mereka telah termasuk dalam golongan kafir terhadap Allah s.w.t. sedangkan mereka adalah dari golongan yang beiman. Mereka itu ialah......

1. Orang yang membunuh tanpa jalan hak.

2. Orang yang menjadi tukang sihir.

3. Suami yang tidak merasa cemburu terhadap isterinya (dayus).

4. Orang yang menahan dirinya dari mengeluarkan zakat.

5. Orang yang meminum arak.

6. Orang yang telah cukup syarat untuknya menunaikan haji tetapi masih mahu menangguhkannya lagi.

7. Orang yang suka membuat fitnah.

8. Orang yang menjual senjata kepada musuhnya (belot).

9. Orang yang bersetubuh dengan isterinya melalui dubur.

10. Orang yang menikahi perempuan yang menjadi muhrim kepadanya (ada hubungan keluarga).

Sabtu 17 Ramadan

Masuk hari ke 17 puasa di Bulan Ramadan......

Kali in dibicarakan tentang Rahsia Angka 10.

- 10 jenis Solat Yang Tidak Diterima Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Sesiapa yang solatnya itu tidak dapat menghalangnya dari mengerjakan perbuatan keji dan munkar maka sesungguhnya solat itu hanyalah menambahkan kemurkaan Allah kepadanya dan ia semakin jauh dari Allah."

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi dalam hadis yang lain; "Sesiapa yang memelihara solatnya maka solat itu akan menjadi cahaya, petunjuk dan jalan selamat baginya tetapi sesiapa yang tidak memelihara solatnya maka solat itu tidak akan memberi cahaya, petunjuk dan jalan selamat untuknya."

Sabda Rasulullah s.a.w., "10 golongan yang tidak diterima solatnya oleh Allah s.w.t, iaitu....

1. Orang lelaki yang solat bersebdirian dengan tidak membawa (memakai) sesuatu.

2. Orang lelaki yang menunaikan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam sedangkan makmum di belakang membencinya.

4. Orang lelaki (hamba) yang melarikan diri dari tuannya.

5. Orang lelaki yang meminum arak dan tidak mahu meninggalkannya (bertaubat).

6. Orang perempuan yang suaminya masih marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang menunaikan solat tanpa memakai tudung.

8. Orang lelaki yang menjadi imam atau pemimpin tetapi berlagak sombong, zalim serta suka menganiaya.

9. Orang yang suka memakan riba.

10. Orang yang solatnya tidak boleh menahan dirinya dari melakukan perbuatan keji dan munkar."

Saturday, September 22, 2007

Jumaat 16 Ramadan 1428H


Khamis 15 Ramadan

Dah separuh jalan berpuasa, 15 hari dah hari ini.....

disambungkan lagi perbincangan tentang Akhlak Muslim, dibentangkan sifat-sifat tercela;

1 - Syarhul Tha'am - ertinya gemar kepada makan ataupun makan dengan terlalu banyak.

2 - Syarhul kalam - ertinya gemar kepada bercakap yang sia-sia, percakapan yang tidak membawa hasil atau mendatangkan sebarang faedah kepada dunia juga akhirat.

3- Ghadhob - ertinya bersifat pemarah dan cepat melenting walaupun kesilapan berlaku hanya pada perkara yang kecil.

4- Hasad - ertinya dengki akan nikmat yanga ada pada orang lain serta suka jika orang itu mendapat kesusahan melebihi dari dirinya.

5- Bukhl - ertinya bakhil atau kedekut dan merasa sayang untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah s.w.t.

6 - Hubbul Jah - ertinya cintakan kepada kemegahan dunia dan hatinya sentiasa berkehendakkan kepada kemasyuran.

7 - Hubbun Dunya - ertinya cintakan kepada dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari mengerjakan ibadat dan berzikir kepada Allah s.w.t.

8 - Kibr - ertinya bongkak atau sombong dan merasakan dirinya mempunyai kelebihan serta kedudukan yang tinggi dari orang lain.

9 - Ujub - ertinya merasakan dirinya telah banyak beribadat atau telah banyak harta sehingga terlupa segalanya adalah nikmat yang datangnya dari Allah s.w.t.

10 - Riya' - ertinya menunjuk-nunjuk dengan amal ibadatnya. Ia beramal untuk mendapatkan pujian dan sanjungan dari manusia bukan dari Allah s.w.t.

Rabu 14 Ramadan 1428H

hari ke 14 puasa Ramadan, alhamdulillah.....

beralih ke Akhlak Muslim, dibentangkan beberapa sifat terpuji seorang Muslim.... Antaranya:

1 - Bertaubat - ertinya meninggalkan segala perbuatan tercela yang telah dikerjakannya dengan niat kerana ingin membesarkan Allah s.w.t. Orang yang bertaubat mestilah memenuhi syarat-syarat yang berikut sebagai kesungguhannya, iaitu;
a) meninggalkan maksiat dengan kesedarannya
b) sungguh-sungguh menyesal di atas perbuatannya yang salah atau yang terlanjur itu
c) berazam dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi keterlanjurannya lagi

2 - Khauf - ertinya takutkan Allah s.w.t. takut kepada kemurkaanNya dengan memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah.

3 - Zuhud - ertinya bersih dan suci hati dari berkehendakkan lebih dari keperluannya serta tidak pula bergantung kepada makhluk lain. Hatinya sentiasa mengingati bahawa harta yang dimilikinya adalah sebagai amanah dari Allah s.w.t. buat sementara waktu sahaja.

4 - Sabar - ertinya tabah dan cekal dalam menghadapi sesuatu ujian dan dugaan yang mendukacitakan daripada Allah s.w.t.

5 - Syukur - ertinya menyedari bahawa semua nikmat yang diperolehinya baik yang lahir mahupun yang batin semuanya adalah daripada Allah s.w.t. ia juga merasa gembira dengan nikmat itu serta bertanggungjawab kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala suruhanNya.

6 - Ikhlas - ertinya mengerjakan segala amal ibadat dengan penuh ketaatan serta semua perbuatan yang dilakukannya itu semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah s.w.t., bukannya kerana tujuan yang lain.

7 - Tawakal - ertinya berserah diri kepada Allah s.w.t. dalam melakukan sesuatu rancangan.

8 - Mahabbah - ertinya kasihkan Allah s.w.t. dan hatinya sentiasa cenderung untuk berkhidmat dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta bersungguh-sungguh dalam menjaga dirinya dari melakukan maksiat.

9 - Reda dengan Qada dan Qadar - ertinya merasa lapang dalam menerima ketentuan nasib yang telah ditakdirkan Allah sama ada yang berupa nikmat atau musibah.

10 - Zikrul Maut - ertinya sentiasa ingat kepada kematian.

Selasa 13 Ramadan 1428H

hari ke 13 puasa fardu dalam bulan Ramadan.....

Bilalah Malam lailatul Qadar ?

Imam Al Ghazali rahimahullah berpendapat malam berlakunya Lailatul Qadar itu boleh dikenali dengan cara yang seperti berikut:

- jika awal Ramadan jatuh pada hari Ahad atau hari rabu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 29 Ramadan.

- jika awal Ramadan jatuh pada hari Isnin maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 21 Ramadan.

- jika awal Ramadan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 Ramadan.

- jika awal Ramadan jatuh pada hari Khamis maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 25 ramadan.

- jika awal Ramadan jatuh pada hari sabtu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 23 ramadan.

Tuesday, September 18, 2007

Isnin 12 Ramadan 1428H

Masuk hari ke 12 berpuasa......

bab puasa dah selesai, sekarang dibicarakan pula tentang KEMULIAAN MALAM LAILATUL QADAR.

Petikan dari Munajat nabi Musa a.s kepada Allah s.w.t :

Munajat Nabi Musa a.s, "Ya Allah ya Tuhanku ! Aku ingin menjadi seorang hamba yang paling hampir sekali denganMu."
Firman Allah s.w.t; "Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah hampir dengan hamba-hambaKu yang telah bangun pada malam Lailatul Qadar."

"Ya Allah ya Tuhanku ! Aku amat mengharapkan sekali akan RahmatMu itu."
Firman Allah s.w.t; "Wahai Musa ! Sesungguhnya RahmatKu itu adalah bagi mereka yang berkasih sayang dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap orang-orang miskin pada malam Lailatul Qadar."

'Ya Allah ya Tuhanku ! Aku ingin sekali untuk melintasi pada titian Siratul mustaqim di hari kiamat kelak dengan pantas seperti kilat yang menyambar."
Firman Allah s.w.t: "Wahai Musa ! sesungguhnya yang demikian itu engkau akan perolehi dengan memberi dan membanyakkan sedekah pada malam Lailatul Qadar."

"Ya Allah ya Tuhanku ! Aku ingin sekali untuk berteduh di bawah pohon-pohon syurgaMu sambil dapat pula memakan buah-buahnya."
Firman Allah s.w.t: "Wahai Musa ! sesungguhnya kamu akan memperolehi niatmu itu tetapi banyakkanlah bertasbih serta bersungguh-sungguhlah kamu dalam mengerjakannya pada malam Lailatul qadar.'

"Ya Allah ya Tuhanku ! Selamatkanlah aku dari azab siksaan neraka jahanammu."
Firman Allah s.w.t; "Wahai Musa ! Bermohonlah kamu kepada Ku dengan membanyakkan meminta keampunana dan beristigfar hingga ke waktu subuh pada malam Lailatul Qadar."

"Ya Allah ya Tuhanku ! Anugerahkanlah keredaanMu itu terhadap diriku."
Firman Allah s.w.t; "Wahai Musa ! Sesungguhnya keredaanKu itu adalah bagi orang-orang yang mengerjakan solat sunat 2 rakaat pada malam Lailatul Qadar."

-disambung.....

Ahad 11 Ramadan 1428H

Dah 11 hari fardu puasa bulan Ramadan.....

disambung lagi nota ringkas mengenai puasa......dibicarakan pula tentang Hikmah Puasa.

Antara hikmah puasa ialah:

- berpuasa dapat melatih diri menjadi seorang yang dekat kepada Allah s.w.t

- berpuasa dapat menahan diri daripada mengikut keinginan nafsu keduniaan

- berpuasa dapat menginsafkan diri dalam mengenangkan bahawa ia adalah hamba Allah s.w.t yang lemah

- berpuasa adalah sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Allah s.w.t yang telah memberi segala nikmat dan rezekiNya kepada manusia

- berpuasa dapat mendidik jiwa untuk mentaati segala suruhan Allah s.w.t serta suruhan yang lain

- berpuasa dapat mensucikan diri dan dapat meninggikan tahap keikhlasan hati

- berpuasa dapat melatih diri supaya sabar, tabah dalam menghadapi penderitaan, kesusahan dan segala cubaan daripada Allah s.w.t

- berpuasa dapat melatih diri agar menjadi seseorang yang amanah

- berpuasa dapat memelihara dairi dari terjatuh ke lembah maksiat dan dosa

- berpuasa dapat melahirkan perasaan kasih sayang dan tolong menolong terhadap sesama insan terutama kepada fakir miskin, anak yatim, orang yang melarat dan seumpamanya

- berpuasa dapat menyihatkan badan dan melatih diri hidup berdisiplin

- berpuasa dapat menguatkan keimanan terhadap Allah s.w.t

- berpuasa dapat menimbulkan rasa insaf dan belas kasihan golongan kaya terhadap golongan miskin

- berpuasa dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan akan keredaan Allah s. w.t maka akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu

Sabtu 10 ramadan

Dah 10 hari berpuasa......alhamdulillah......

Sambungan nota ringkas mengenai puasa, dibicarakan tentang puasa qada pula.

Puasa qada ialah puasa yang wajib ditunaikan kerana bagi menggantikan puasa bulan Ramadan yang telah ditinggalkan atas sesuatu sebab atau kelonggaran yang diizinkan oleh syarak seperti sakit tenat, bermusafir, haid, nifas, bersalin dan seumpamanya.

Dibicarakan pula tentang puasa nazar.

Puasa nazar wajib ditunaikan apabila kita telah beroleh atau berjaya mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Jika apa yang kita nazarkan itu tidak berjaya, maka tidaklah wajib untuk menunaikan nazar tersebut. Contohnya, jika berkata seseorang itu, jika sekiranya ditakdirkan isteriku ini melahirkan anak perempuan, maka aku bernazar akan berpuasa satu hari. Jika dilahirkan anak perempuan, maka wajiblah ia menunaikan nazarnya dengan berpuasa satu hari.

Dibicarakan pula tentang puasa kifarat.

Puasa kifarat wajib ditunaikan jika seseorang itu telah melakukan perbuatan seperti :

- bersetubuh pada siang hari dalam bulan Ramadan; makan kifaratnya ialah ia wajib berpuasa selama 2 bulan berturut-turut harinya.

- membunuh saudara seagama tanpa hak ataupun dengan sengaja maka kifaratnya ialah puasa selama 2 bulan berturut-turut harinya.

- melanggar perintah ihram dengan melakukan sesuatu yang haram dilakukan dan tidak dapat digantikan dengan menyembelih binatang. Kifaratnya ialah berpuasa selama 3 hari di tanah suci dan 7 hari lagi di tanah air sendiri setelah kembali dari haji.

- kifarat kerana mengziharkan isteri iaitu dengan berpuasa selama 2 bulan berturut-turut.

Jumaat 9 Ramadan 1428H

9 hari berpuasa......

disambungkan lagi nota ringkas mengenai puasa......

diperturunkan jenis-jenis puasa sunat:

a) Puasa sunat di bulan Syawal. Puasa dalam bulan Syawal ini dinamakan puasa enam, sunat melakukannya sebanyak 6 hari, tidak semestinya berturut-turut. Dilakukan sehari selepas Aidil Fitri, selagi masih berada dalam bulan Syawal.

b) Puasa sunat di bulan Zulhijjah bermula pada 1 haribulan hinggalah pada 8 haribulan.

c) Puasa sunat pada tanggal 9 Zulhijjah, iaitu pada Hari Arafah.

d) Puasa sunat dalam bulan Muharram, bermula dari 1 haribulan hinggalah pada 9 haribulan, iitu sunat Tasyua.

e) Puasa sunat pada tanggal 10 Muharram, iaitu Hari Asyura.

f) Puasa sunat di bulan Rejab, pada setiap hari dalam bulan tersebut.

g) Puasa sunat di bulan Syaaban, pada setiap hari dalam bulan tersebut.

h) Puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

i) Puasa sunat 3 hari dalam setiap bulan Hijrah.

j) Puasa sunat pada setiap tanggal 13, 14, dan 15 pada setiap bulan Hijrah.

k) Puasa sunat berselang seli harinya, bermakna hari ini puasa, esok tidak dan begitulah seterusnya.

Wednesday, September 12, 2007

Khamis 8 Ramadan 1428H

Dah masuk hari ke 8.......semuga puasa diterima Allah s.w t......

Jenis-jenis Puasa:

1. Puasa Wajib.
Puasa fardhu atau puasa di bulan Ramadan telah diwajibkan ke atas setiap mukallaf yang telah akil baligh serta telah memenuhi syaratnya. Bagi kanak-kanak yang belum baligh, mereka tidaklah diwajibkan lagi, namun ibu bapa haruslah menggalakkan mereka supaya berpuasa sebagai satu latihan. Sesiapa yang mengingkari kewajipan berpuasa itu, maka mereka boleh dihukumkan sebagai murtad.

2. Puasa Sunat.
Puasa sunat ialah puasa yang dikerjakan semata-mata kerana untuk mengharapkan keampunan, keredaan dan balasan kebaikan serta mendekati diri kepada Allah s.w.t. Puasa sunat boleh dikerjakan pada bila-bila masa yang diingini jika seseorang itu merasa ia berkemampuan untuk melaksanakannya kecuali pada hari-hari yang diharamkan dan dimakruhkan baginya berpuasa.

Rabu 7 Ramadan 1428H

Hari ini masuk hari ke 7 berpuasa....dah seminggu dah berlalu.......

disambungkan lagi nota ringkas mengenai PUASA. Perkara yang dibolehkan ketika berpuasa:

- bercelak dan menitiskan air ubat ke dalam mata

- bersuntik dibolehkan dalam bulan puasa dengan syarat benar-benar sakit dan puasanya itu dikira batal dan wajid mengkadanya semula

- menyelam ke dalam air asalkan dengan tidak keterlaluan sehingga menyebabkan air boleh masuk ke dalam rongga badan

- mencium, memeluk atau memegang tangan isteri asalkan mampu mengawal syahwat


- Hari yang DIHARAMKAN untuk berpuasa:

- pada 1 Syawal, iaitu di hari raya Aidil Fitri

- pada 10 Zulhijjah, iaitu di hari raya Aidil Adha

- pada hari-hari tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Selasa 6 Ramadan 1428H

Dah 6 hari berpuasa.......

disambungkan nota ringkas tentang PUASA......, diperturunkan di sini perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Batal puasa, jika.....

- makan dan minum dengan sengaja

- bersetubuh dengan sengaja di siang hari

- muntah dengan sengaja seperti memasukkan jari ke dalam mulut

- memasukkan sesuatu ke rongga hidung, telinga dan seumpamanya

- bersalin

- hilang akal disebabkan gila atau mabuk dengan sengaja

- haid dan nifas bagi perempuan

- mengeluarkan mani dengan sengaja di siang hari. jika bermimpi tidak batal

- murtad, keluar dari agama

Isnin 5 Ramadan

Hari ke 5 umat Islam berpuasa di bulan Ramadan.

disambungkan lagi nota ringkas mengenai puasa....

Makruh Puasa, antaranya:

- berkumur atau menggosok gigi selepas gelincir matahari

- bercakap kosong dan sia-sia atau mengeluarkan kata-kata kotor

- merasakan makanan dengan lidah

- melihat pada aurat yang terdedah atau gambar-gambar yang berunsur maksiat

- berbekam

- memakai atau mencium bau-bauan

- tidur sepanjang hari tanpa melakukan apa-apa kerja

- berbuka dengan makan terlalu kenyang

Friday, September 7, 2007

Ahad 4 Ramadan 1428H

Hari ini hari keempat kita berpuasa, semuga kita akan tetap dapat menunaikan fardu puasa ini sehingga ke kemuncaknya di mana kita akan diberikan ganjaran menikmati kemeriahan hari berbuka.......

Antara sunat-sunat ketika berpuasa ialah ;

- menyegerakan waktu berbuka

- berbuka dengan memakan buah kurma dan minum susu atau sesuatu yang manis

- melewatkan waktu bersahur

- menjauhi perbuatan yang tercela dan perkataan yang sia-sia seperti berdusta, mencela,
mengumpat, bergaduh, membuat fitnah dan memperkatakan keaiban orang lain

- mengerjakan solat tarawih pada sebelah malam bulan Ramadan

- bertadarus, tilawah al- Quran pada setiap malamnya di bulan Ramadan

- membanyakkan berdoa, berzikir, berselawat dan berisytigfar pada malam bulan ramadan

- beriktikaf di masjid pada malam bulan Ramadan, terutama sekali pada akhir 10 malam

- membanyakkan sedakah kepada fakir dan mereka yang memerlukan bantuan

- menyediakan makan untuk mereka yang akan berbuka puasa

- mengawal diri dari mengikut perasaan dan hawa nafsu


- sekadar untuk renungan bersama........

Sabtu 3 Ramadan 1428H

Hari ini masuk hari ketiga umat Islam berpuasa.

Berikut antara perkara tentang PUASA, especially puasa di bulan Ramadan....

Pengertian Puasa:
Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari.

Rukun Puasa :
i. Niat di waktu malam harinya bahawa esok dia hendaklah mengerjakan puasa.

ii. Menahan diri dari makan dan minum, bersetubuh serta perkara yang membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Syarat wajib Puasa :
- Islam.
- Akil Baligh. Tidak wajib puasa ke atas orang yang gila, dan kanak-kanak yang belum baligh.
- Suci dari haid dan nifas.
- tinggal tetap, bukan musafir.
- Mampu untuk mengerjakan puasa, orang yang uzur dan sakit tidak diwajibkan berpuasa.

Syarat Sah Puasa :
- Beragama Islam. Orang kafir tidak sah puasanya.
- Suci dari haid dan nifas.
- Telah mumayiz, tahu membezakan buruk dan baik.
- Berpuasa pada waktunya sahaja.

Jumaat 2 Ramadan 1428H

RAMADAN adalah bulan umat Muhammad s.a.w. Bersabda Rasulullah s.a.w bermaksud, "Apabila tiba bulan Ramadan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

Sabda baginda dalam hadis yang lain; "Jika umat manusia itu mengetahui akan kelebihan yang ada di dalam bulan Ramadan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sabagai bulan Ramadan."

Kelebihan bulan Ramadan:

Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah s.w.t. sebanyak 1000 kali

Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran amalan fardu

Ramadan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa, iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah s.w.t , bahagian keduanya dipenuhi dengan keampunan dari Allah s.w.t. dan bahagian ketiganya diberikan pembebasan dari siksa api neraka.

Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawih, witir dan solat-solat sunat yang lain.

Banyakkan berdoa, berzikir, selawat, membaca al-Quran, bertaubat dan lain-lain amalan sunat.

Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.

Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.

Menggandakan amalan sunat, terutamanya pada 10 hari terakhir bulan Ramadan, bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar, seperti beriktikaf di masjid.

Menghidupkan malam-malam bulan Ramadan dengan mendirikan qiamullail, terutama pada 10 malam yang terakhir.

Tuesday, September 4, 2007

Khamis 1 Ramadan 1428H


Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam seantero dunia........

semuga dengan tibanya bulan Ramadan al Mubaraq ini akan menambah kerahmatan dan keberkatan ke atas diri dan keluarga......
Rukun Islam ke 4 : PUASA di bulan Ramadan.
Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah s.w.t dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhkan laranganNya. ini secara langsung akan melahirkan keinsafan serta meningkatkan ketaqwaan kepadaNya......
Firman Allah s.w.t :
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa."
Sabda Rasulullah s. a. w :
"Orang-orang yang berpuasa dalam bulan Ramadan kerana didorong oleh rasa keimanan kepada Allah dan dengan penuh kesedaran, maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu."

Rabu 30 Syaaban 1428H

Selasa 29 Syaaban 1428H

Isnin 28 Syaaban

Ahad 27 Syaaban

Sabtu 26 Syaaban

Jumaat 25 Syaaban

Khamis 24 Syaaban

Rabu 23 Syaaban

Selasa 22 Syaaban

Isnin 21 Syaaban

Saturday, August 25, 2007

Jumaat 26 Rejab 1428H


Khamis 25 Rejab 1428H

Rabu 24 Rejab 1428H

Selasa 23 Rejab

Isnin 22 Rejab 1428H

Ahad 21 Rejab

Sabtu 20 Rejab

Jumaat 19 Rejab

Khamis 18 Rejab

Rabu 17 Rejab

Selasa 16 Rejab

Isnin 15 Rejab 1428H

Ahad 14 Rejab

Sabtu 13 Rejab 1428H

Jumaat 12 Rejab

Khamis 11 Rejab

Rabu 10 Rejab

Selasa 9 Rejab

Isnin 8 Rejab

Ahad 7 Rejab

Sabtu 6 Rejab

Jumaat 5 Rejab

Khamis 4 Rejab

Rabu 3 Rejab

Selasa 2 Rejab

Isnin 1 Rejab

Ahad 30 Jamadilakhir