Sunday, November 18, 2007

Sabtu 7 Zulkaedah 1428H

JENIS-JENIS HAJI

HAJI IFRAD

Haji Ifrad ertinya mengerjakan ibadah haji terpisah dengan ibadah umrah. Pertamanya dikerjakan ibadah haji dahulu sehingga selesai kepada tahallul. Pada masa ini, seorang haji boleh menukar pakaian ihramnya serta bebas melakukan segala perbuatan yang dilarang sewaktu berpakaian ihram. Setelah itu pakailah kembali pakaian ihramnya dengan niat mengerjakan ibadah umrah pula.

Kerjakanlah ibadah umrah itu sehingga selesai kepada tahallul. Haji Ifrad ini biasanya dikerjakan bagi mereka yang tinggal tetap di Tanah haram atau sekitar kawasannya sahaja.

HAJI TAMATTU'

Haji Tamattu' ertinya haji bersenang-senang iaitu dengan mendahulukan ibadah umrah sehingga selesai kepada tahallul. Pada masa ini ia bolehlah tukarkan pakaian ihramnya dan bebas melakukan perkara dilarang ketika berihram.

Bila sudah tiba masa untuk berwukuf iaitu pada 9 Zulhijjah, pakailah semula pakaian ihram dengan niat untuk menunaikan ibadah haji pula. Kerjakanlah ibadah haji sehingga selesai tahallul. bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji secara tamattu', adalah dikehendaki membayar dam.

HAJI QIRAN

Haji Qiran ertinya mengerjakan ibadah haji bersama-sama dengan ibadah umrah. Ketika memakai pakaian ihram, hendaklah diniatkan untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah secara serentak.

Setelah memakai pakaian ihram dan selesai melakukan tawaf serta saie bagi umrah, pakaian ihram tidak perlu dibuka. Ertinya janganlah bertahallul dahulu, sebaliknya menyambung dengan mengerjakan ibadah haji dengan melakukan wukuf di Arafah, melontar serta mengerjakan ibadah yang lainnya. Setelah selesai barulah bertahallul.

Selepas itu barulah dibenarkan membuka pakaian ihram, dan bebas melakukan perkara yang dilarang ketika berihram.

Haji Qiran biasanya dikerjakan oleh mereka yang sampai lewat ke Mekah seperti pada 7 atau 8 Zulhijjah sehingga tidak sempat mengerjakan ibadah haji secara Tamattu'. bagi mereka yang mengerjakan Haji Qiran dibenarkan melakukan tawaf serta saie satu kali, dan mereka dikehendaki membayar dam.

No comments: