HARI RAYA HAJI, AIDIL ADHA
Satu Dalam 600, 000 Orang.
Abdullah b. Mubarak menceritakan sewaktu beliau tertidur di masjidil haram beliau telah nampak dua malaikat turun dari langit. Berkata salah seorang darinya; "Berapa ramai bilangan haji tahun ini ?"
Jawab yang disebelahnya; "600, 000 orang." "Di antara mereka, berapakah yang diterima hajinya ?" tanya malaikat awal. Jawab malaikat yang kedua; "Di antara mereka, hanya seorang sahaja. Namanya Muwaffak, dia tinggal di Damsyik, pekerjaannya sebagai tukang kasut, dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima Allah."
Bila tersedar dari tidurnya, Abdullahpun segera berangkat ke Damsyik untuk mencari lelaki itu. Setelah bertemu Abdullahpun bertanya; "terangkan padaku, apakah amalanmu sehingga mencapai darjat yang tinggi ?" Jawab Muwaffak; "Dengan rahmat Allah aku telah dapat mengumpulkan 300 dirham yang aku simpankan untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Waktu itu isteriku sedang hamil dan ia telah tercium sesuatu masakan dari rumah jiran dan menyuruhku memintanya sedikit kerana ia mengidam. Aku punmendapatkan jiranku itu.
Berkata jiranku kepada ku; " Aku terpaksa memberitahumu satu perkara, anak-anakku telah tiga hari tidak makan. Sewaktu aku keluar mencari makanan aku terjumpa bangkai himar lalu aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masakkan, maka makanan ini halal bagi kami tetapi haram bagimu."
Mendengar kata-kata wanita itu, aku pun segera pulang ke rumah dan mengambil wang 300 dirham itu lalu aku berikan kepadanya. Aku berkata pada diriku; "Hajiku hanya di pintu jiranku." Hanya itulah sahaja amalanku". Demikianlah besarnya rahmat Allah kepada hambanya, sesungguhnya Allah tidak memandang kepada harta yang kita ada tetapi pada niat yang ikhlas lagi suci.
No comments:
Post a Comment