Saturday, September 22, 2007

Rabu 14 Ramadan 1428H

hari ke 14 puasa Ramadan, alhamdulillah.....

beralih ke Akhlak Muslim, dibentangkan beberapa sifat terpuji seorang Muslim.... Antaranya:

1 - Bertaubat - ertinya meninggalkan segala perbuatan tercela yang telah dikerjakannya dengan niat kerana ingin membesarkan Allah s.w.t. Orang yang bertaubat mestilah memenuhi syarat-syarat yang berikut sebagai kesungguhannya, iaitu;
a) meninggalkan maksiat dengan kesedarannya
b) sungguh-sungguh menyesal di atas perbuatannya yang salah atau yang terlanjur itu
c) berazam dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi keterlanjurannya lagi

2 - Khauf - ertinya takutkan Allah s.w.t. takut kepada kemurkaanNya dengan memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah.

3 - Zuhud - ertinya bersih dan suci hati dari berkehendakkan lebih dari keperluannya serta tidak pula bergantung kepada makhluk lain. Hatinya sentiasa mengingati bahawa harta yang dimilikinya adalah sebagai amanah dari Allah s.w.t. buat sementara waktu sahaja.

4 - Sabar - ertinya tabah dan cekal dalam menghadapi sesuatu ujian dan dugaan yang mendukacitakan daripada Allah s.w.t.

5 - Syukur - ertinya menyedari bahawa semua nikmat yang diperolehinya baik yang lahir mahupun yang batin semuanya adalah daripada Allah s.w.t. ia juga merasa gembira dengan nikmat itu serta bertanggungjawab kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala suruhanNya.

6 - Ikhlas - ertinya mengerjakan segala amal ibadat dengan penuh ketaatan serta semua perbuatan yang dilakukannya itu semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah s.w.t., bukannya kerana tujuan yang lain.

7 - Tawakal - ertinya berserah diri kepada Allah s.w.t. dalam melakukan sesuatu rancangan.

8 - Mahabbah - ertinya kasihkan Allah s.w.t. dan hatinya sentiasa cenderung untuk berkhidmat dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta bersungguh-sungguh dalam menjaga dirinya dari melakukan maksiat.

9 - Reda dengan Qada dan Qadar - ertinya merasa lapang dalam menerima ketentuan nasib yang telah ditakdirkan Allah sama ada yang berupa nikmat atau musibah.

10 - Zikrul Maut - ertinya sentiasa ingat kepada kematian.

No comments: