Sunday, April 29, 2007

Selasa 29 Rabiulawal 1428H






Allah s.w.t. telah berfirman:

"Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, maka datanglah siksaan Kami (menimpa penduduk)nya di waktu mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirehat di tengahari".
- al A'raaf : ayat 4

Sabda Rasulullah s. a. w. :

"Apabila jiranmu mengatakan, "Kamu baik", maka kamu benar-benar baik. Dan apabila mereka mengatakan, "Kamu jahat", maka kamu benar-benar jahat".
- Sahih. R. Ahmad, Ibnu Majah dan Thabraani.



KITA SENTIASA BERALASAN.

PADA hari kiamat nanti Allah akan menolak 4 macam alasan dari 4 jenis golongan manusia, iaitu :

1. Allah menolak alasan dari orang kaya kalau sekiranya ia berkata, "Kekayaan yang aku cari dengan usaha titik peluh sendiri telah menyibukkan aku sehingga aku tidak sempat melaksanakan amal ibadat dan kebajikan."
Firman Allah kepadanya, "Kekayaanmu tidaklah setanding dengan kekayaan Nabi Sulaiman tetapi dia sedikitpun tidak tidak lalai dan lupa dari mengingati Aku."

2. Allah menolak alasan dari hamba sahaya sekiranya ia berkata, "Aku adalah seorang hamba dan terikat kepada suruhan yang menjadikan aku tidak bebas. Oleh sebab itu aku tidak berpeluang untuk beribadat kepadaMu."
Firman Allah kepadanya, "UtusanKu yang bernama Nabi Yusuf juga pernah menjadi hamba tetapi tidak pula ia leka dari mengerjakan ibadatnya terhadapKu."

3. Allah menolak alasan dari orang miskin sekiranya ial berkata, "Kemiskinan dan kekurangan yang kami miliki inilah yang menyebabkan kami tidak berpeluang untuk beribadat kepadaMu."
Firman Allah kepadanya, "Kemiskinan yang kamu rasai tidaklah semiskin sebagaimana seorang utusanKu iaitu Nabi Isa a. s dan ia tidaklah pula mengabaikan tanggung jawab kepadaKu."

4. Allah menolak alasan dari orang yang sedang menderita sakit sekiranya ia berkata, "Penyakit
inilah yang menghalang aku dari melakukan sujud terhadapMu."
Firman Allah kepadanya, "Penyakitmu itu tidaklah seteruk seperti apa yang dialami oleh hambaKu yang mulia iaitu Nabi Ayub a. s tetapi lidah dan hatinya sedikitpun tidak berhenti dari menyebutkan akan namaKu."

Demikianlah seadanya.....









Thursday, April 19, 2007

Isnin 28 Rabiulawal 1428H

Disunatkan berpuasa pada hari Isnin.

Allah s. w. t berfirman :

"Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya ? Kelak kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat Kami dengan siksaan yang buruk",
- al An' aam : ayat 157

Sabda Rasulullah s. a. w :

"Apabila salah seorang kamu mendengar seruan azan sedang makanan ditangannya maka janganlah ia berhenti sehingga ia menyelesaikan hajatnya".
- Sahih. R. Ahmad, Abu Dawud dan Hakim.


KENAPA IBRAHIM BIN ADHAM BERTAUBAT.

Pada suatu hari Ibrahim bin Adham telah keluar berburu dan setelah lama berada di atas kudanya, dia pun berhenti untuk berehat dan menjamah makanannya. Bila hendak dimasukkan sahaja ke dalam mulutnya tiba-tiba datang seekor burung gagak lalu menyambar rotinya itu. Kerana merasa marah, Ibrahim terus mengejar burung itu hinggalah ia sampai ke puncak bukit dan setelah ia mendekati burung itu, Ibrahim telah mendapati ada seorang lelaki yang telah terikat kedua tangan dan kakinya.

Ibrahim terus mendekati lelaki itu serta membuka ikatannya lalu bertanya,
"Kenapa kamu berada dalam keadaan begini ?"

Jawab lelaki itu,
"Sebenarnya aku adalah seorang saudagar dan aku telah dirompak lalu mereka mengikat aku dan aku dibiarkan dalam keadaan begini sudah tujuh hari. Dengan pertolongan Allah, burung gagak inilah yang selalu membawa makanan untuk aku. Burung ini akan bertenggek di atas bahuku sambil memotong roti lalu di masukkan ke dalam mulutku. Sesungguhnya Allah tidak membiarkan aku lapar walau seharipun dengan berkat pertolongan burung ini."

Selepas mendengar cerita lelaki itu, Ibrahim b. Adham pun terus bertaubat kepada Allah, lalu dia melucutkan pakaian kebesarannya dan digantikan dengan pakaian sufi. Dia juga telah memerdekakan semua hamba-hambanya serta mewakafkan semua harta dan tanah yang dimilikinya.











Monday, April 16, 2007

Ahad 27 Rabiulawal 1428H

Firman Allah s. w. t ;
"dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus; maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa". -al An'aam : ayat 153

Sabda Rasulullah s. a. w ;
"Apabila kebaikanmu membuat mu gembira dan keburukan membuatmu susah, maka engkau seorang mukmin".
(Sahih. R. Ahmad dan Ibnu Hibban)

SAAT GEMBIRA SEORANG SUFI.

Setiap ujian yang datang adalah nikmat beginya, begitulah apa yang terjadi kepada seorang sufi Allah, Ibrahim Bin Adham. Ada yang bertanya kepadanya; "Apakah yang paling mengembirakan setelah memasuki dunia sufi ?"
Jawab Ibrahim, "Ya, ada dua kegembiraan selama aku hidup sebagai seorang sufi. Pertama. semasa aku menumpang sebuah perahu dengan memakai pakaian yang compang-camping, rambut yang kusut masai serta keadaan tubuh badan yang tidak terurus, tiba-tiba datang seorang lelaki lalu memaki hamun dan memukul aku".
"Aku sungguh gembira dengan peristiwa ini kerana merasakan diri ini terlalu hina. Keduanya, pada suatu malam aku tertidaur dalam sebuah masjid kerana terlalu letih. Tiba-tiba datang pengawal masjid lalu menarik kakiku dengan marahnya. Ia terus mencampakkan aku keluar dari masjid memalui tangga. Maka bergoleklah badanku dari tangga atas hingga ke bawah. Kepala aku berdarah dan kakiku patah. Pada setiap anak tangga aku jatuh, masuklah ilmu kerohanian ke dalam hatiku, dan ianya amat menggembirakan. Setelah jatuh pada anak tangga yang terakhir, aku rasa terlalu sedih kerana aku tidak akan merasakan nikmat sepertinya lagi pada masa-masa akan datang".

Friday, April 13, 2007

Sabtu 26 Rabiulawal 1428H

Firman Allah s.w.t ;
"Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil walaupun dia adalah kerabat(mu), dan patuhilah janji Allah (perintah-perintahNya)".
-al-An'aam : ayat 152

Sabda Rasulullah ;
"Apabila salah seorang kamu sujud maka janganlah berlutut sebagaimana unta berlutut, dan hendaklah ia meletakkan kedua tangannya sebelum kedua lututnya".
-sahih R. Abu Dawud dan Nasai

MAMPUKAH KITA BERSABAR SEPERTINYA ?

Syiekh Abu Osman Al Hiri adalah seorang abid yang terkenal dengan kesabarannya, beliau tidak marah, putus asa dengan apa saja yang menimpa keatas dirinya selama hayatnya. Kerana tidak percaya kepada akhlak Abu Osman yang tinggi itu, seorang lelaki telah mengundang beliau ke rumahnya untuk suatu jamuan bagi mengujinya.
Sebaik tiba di muka pintu rumah, Syiekh Abu Osman terus dihalau dengan berbagai cacian serta herdikan yang menghinakan. Namun Abu Osman tetap bersabar diatas apa yang berlaku dan beredar dari situ.beberapa langkah ke hadapan, lelaki itu memanggil semula Abu Osman. Setelah itu dihalaunya semula seperti yang dilakukan diawalnya tadi. Demikianlah hal itu berulang sehingga 30 kali, namun ia sedikitpun tidak menunjukkan tanda marah.
Akhirnya lelaki itu mengakui akan kesabaran Abu Osman, lalu ia segera memohon maaf darinya. Kata Abu Osman;
"Apa yang aku lakukan ini adalah terlalu mudah, anjingpun boleh lakukan seperti apa yang aku buat. Cuba engkau perhatikan, jika dipanggil ia datang, jika dihalau ia pergi tanpa menunjukkan rasa marah, kecewa atau putus asa sedikitpun. Apalah ertinya kesabaranku ini jika ianya boleh dilakukan oleh seekor anjing yang tidak berakal".

Thursday, April 12, 2007

Jumaat 25 Rabiulawal 1428H












Firman Allah s.w.t.:
"Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil". Surah al An'aam : ayat 152

Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Apabila kamu bersujud (maka) bersujudlah bersama tujuh anggota (badan); mukanya, kedua telapak tangannya, kedua lututnya dan kedua telapak kakinya".
(Sahih R. Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Termizi, Nasaai dan Ibnu Majah)


MUSUH NOMBOR SATU ISLAM.

Nabi Muhammad s. a. w. adalah seorang yang paling dihormati dan dipercayai oleh seluruh anggota masyarakat Quraisy, baik sebelum dirinya diutus menjadi Rasul mahupun sesudahnya. Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul lagi baginda telah digelar dengan gelaran 'Al Amin' yang bererti orang yang dipercayai. Baginda mendapat gelaran itu kerana keperibadiannya yang indah serta memiliki budi pekerti yang mulia dan tinggi.
Anehnya baginda bukan sahaja dianggap orang yang paling benar oleh para sahabat dan pengikutnya tetapi juga oleh musuh-musuh baginda termasuk Abu Jahal, musuh Islam nombor satu. Pernah suatu ketika datang seorang sahabat Abu Jahal lalu bertanya kepadanya, "Ya Abu Hakam, di sini tidak ada orang lain yang akan mendengar perbualan kita, kecuali kita berdua. Sebenarnya aku ingin tahu dari mulutmu sendiri, adakah Muhammad itu seorang yang benar atau pendusta ?"
Betapa terkejutnya lelaki itu apabila Abu Jahal menjawab pertanyaannya itu dengan spontan, "Demi Tuhan ! Sesungguhnya Muhammad itu adalah seorang yang benar dan dia tidak pernah sekalipun ia berbohong." Demikianlah betapa anehnya satu-satu kejadian dalam dunia seorang musuh ketat terang-terang mengakui lawannya itu seorang yang benar.
Inilah keistimewaan Muhammad, baginda dianggap benar sekalipun oleh musuh-musuhnya yang paling ketat.

Khamis 24 Rabiulawal 1428H

Hari ini Khamis.... bacalah banyak-banyak AL MUHSHY selepas solat insyaAllah menjadi golongan yang dekat dengan Allah. Disunatkan berpuasa....

"dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak diantaranya mahupun yang tersembunyi", al An'aam : ayat 151

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Apabila kamu mengunjungi suatu daerah, maka janganlah ia solat (menjadi imam) mereka, dan hendaklah solat (imam) mereka seorang laki-laki dari mereka".
(Sahih R. Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi dan Nasaai)

BACALAH.........


Dengan lafaz Bismillah......
dimulakan bicara.......
semuga apa yang dipaparkan di sini......
akan memberi panduan dan pengajaran.......